ahlul jannati. Ameen.

Followers

Thursday, 30 April 2015

Metal Man (Pemuda Logam)




Ini bukan kisah Iron Man, atau kuasa ultras mega menggegarkan bima sakti! Malahan, ini lebih besar daripada itu! Sudah bersedia? Ayuh!

Dalam sebuah hadis dari Abi Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w ada bersabda: 



Kamu akan dapati manusia itu seperti logam (himpunan berjenis besi-besi), baiknya mereka di waktu Jahiliyyah, baik juga mereka di waktu Islam, sekiranya mereka faquh (faham).


Masa mula-mula aku terima hadis ini, aku tak faham pun. Apa yang logamnya? Kenapa tidak dikatakan manusia itu seperti batu? Seperti hujan? Seperti mutiara? Seperti sebiji kurma Yusuf Taiyoob? Mengapa?


Begini! Cuba kita perhatikan karakter dan sifat logam.
Logam ni keras, kukuh, bersinar. Jika dicairkan, ia akan membentuk. Hampir kesemua benda diperbuat daripada campuran logam. Duit syiling, kole air, cincin mak jemah, perisai dalam game Counter Strike...banyak lah! Nak katanya di sini, logam ni punya banyak manfaat buat manusia. Daripada zaman tok kadok orang tak pakai baju (pra-sejarah), sampailah zaman orang tak reti beza pakai baju dan tak pakai baju (zaman la), semuanya menggunakan logam! Hebat logam ni, mengalahkan rantai emas yang dicagar di Ar Rahnu.

Dalam 57:25 pun ada menyebut tentang kehebatan spesis logam;

“…Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa”

Peh! Jadi berbalik dengan kaitan manusia dan logam; Kita semua tahu bahawa logam itu kuat dan kukuh. Kalau kita hempukkan sebatang logam dekat badan kawan kita, mesti esoknya kita dapat surat saman sebab dia dah masuk hospital. Kita ni manusia, sepatutnya seperti logam itu. Kuat, kukuh, gagah, mantap, superb! Bukannya lemah, longlai, penakut dan i-rasa-hidup-tiada-makna-i-nak-belajar-kerja-kahwin-lepastu-mati.

Jika kita singkap sejarah Islam, dapat kita saksikan betapa ramainya pejuang-pejuang yang bermati-matian untuk kemenangan Islam. Malahan kuatnya pegangan mereka melebihi kecintaan mereka terhadap keluarga. Abu Ubaidah, Saad Abi Waqas, Mus'ab bin Umair... dan ramai lagi!

Bukan itu sahaja, logam ni cirinya kalau ditempa, ia akan membentuk kepada bentuk yang dikehendaki. Begitu juga dengan manusia, perlunya untuk mudah dibentuk. Maknanya di sini, keadaan acuan dan celupan warna itu sangatlah penting. Jika acuan itu cantik, maka cantiklah juga tempaannya. Jika acuan itu hodoh, maka hodohlah juga tempaannya. Kalau kita teliti diri kita, agak-agak apakah acuan yang membentuk diri kita? Acuan yang seiring dengan Tuhan atau seiring dengan kehendak sendiri? Jawab lah sendiri, ehek.

Aku sangat suka bagaimana Saidina Umar memperlihatkan logamnya. Ketika fasa sebelum beliau memeluk Islam, beliau terkenal dengan sifatnya yang tegas dan garang, sampaikan ada kisah yang mana Saidina Umar membelah perut seorang ibu hanya itu memenangi taruhan meneka jantina anak di dalam perut itu. Kejam dan sangat digeruni. Namun, setelah beliau memeluk Islam dan mendapat kefahaman (dengan erti kata lain dibentuk oleh acuan dan celupan yang betul), beliau menjadi hebat juga semasa Islam nya. Beliau secara terang-terangannya mengisytiharkan keislaman beliau sehingga mempengaruhi orang lain untuk memeluk Islam. Logam Saidina Umar itu adalah sifat berani dan ketegasannya. 

Secara ringkasnya nilai logam itu tak akan berubah walau di mana kita berada. Kalau kita jahil, nilai logam itu akan menyokong jahiliah. Jika kita Islam, nilai logam itu akan menyokong Islam. Logam masih kekal, bezanya cuma apakah jenis acuan dan celupan yang kita guna. 


2:138 | 
Celupan Allah. 
Dan siapakah yang lebih baik celupannya dari pada Allah? 
Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.


Nak mudah faham, begini. Setiap orang ada kelebihan masing-masing sebab kita diciptakan berbeza. Sama juga macam jenis logam, ada macam-macam jenis- Ada kalium, plotanium, raksa, titanium dan banyak lagi. Setiap jenis logam, ada perbezaan dan keistimewaanya tersendiri. Begitu juga kita. 

Contoh lah, ketika zaman jahiliah kita, kita berbakat dalam fotografi. Tetapi kita tangkap gambar pada hal yang sia-sia, selfie kembung pipi lah, gambar tengok skirt ada tahi di bawah lah. Namun suatu hari, kita dikurniakan dengan kefahaman Islam. Maka kita salurkan kelebihan kita dalam perjuangan Islam. Misalnya kita tangkap gambar keindahan ciptaan Tuhan dan aspirasikan dalam bentuk taddabur dan sebagainya.

Dulu, minat aku pada KPOP sangat menggunung dan aku juga punya minat dalam penulisan. Perkara pertama yang membuatkan aku bikin blog adalah kerana KPOP. Aku ingat lagi, nama pertama blog aku adalah 'thegirlofasian'. Kemain tau, aku bajet oppa-oppa asian itu aku yang punya. Segala entries aku, aku tulis tentang KPOP. Semalam aku semak status facebook aku yang lama-lama. Tertawa aku kerana hampir setiap status yang aku post, adalah berkenaan KPOP, dah macam majalah EPOP bergerak dah aku masa tu. Teringat pula aku kisah Saidina Umar, yang mana setelah beliau peluk Islam, ada satu ketika beliau tiba-tiba sahaja menangis dan tersenyum sendirian. Beliau menceritakan sebab beliau menangis iaitu kerana mengenangkan tindakan beliau menimbus anaknya hidup-hidup tanpa belas kasihan, dan berkatalah Umar sebab beliau tersenyum adalah:
"Berkenaan aku tersenyum. Pada suatu hari aku keluar dari bandar Mekah. Apabila keluar dari Mekah biasanya kami membawa batu dari Mekah untuk dijadikan sembahan, tapi aku lupa membawa batu, tapi aku membawa kurma, aku membuat berhala daripada kurma dan aku sembah kurma itu. Apabila makanan aku habis, mulalah aku makan Tuhan aku itu sedikit demi sedikit. Apabila aku teringat kisah ini, aku ketawa sendirian."

Lucu kan. Ketika kita jahil, ada sahaja benda pelik yang kita buat (yang mana kalau kita kenangkan kembali jahiliah kita, ada hal yang buatkan kita menangis, ada hal yang melucukan)...Dan setelah kita mendapat kefahaman Islam, kita sedar hal tersebut adalah sesuatu yang tidak membuahkan apa-apa.

Makanya setelah sesak dalam kepekatan jahiliah, aku cuba tukarkan minat aku untuk menghijrahkan blog dan penulisan aku kepada hal yang lebih bermanfaat. Acewah, moga-moga dapat redha Dia. Tu aku bagi contoh. Contoh. 

Kamu pun pasti ada logam kamu yang tersendiri. Mana tahu logam kamu adalah kamu miliki suara yang sedap, maka kamu boleh buka pusat mengajar tarannum. Mana tahu logam kamu adalah kamu seorang yang aktif dengan program, maka kamu boleh salurkan keaktifan kamu dalam jalan tarbiah. Mana tahu logam kamu adalah seorang yang petah berkata-kata, kamu boleh jadikan ia suatu logam untuk bercerita tentang agama kepada orang lain. 

Celupkan logam kamu, di dalam celupan (sibghah) Allah.

Dan ayat yang terakhir sekali sangat penting; "...sekiranya mereka faquh (faham)."

Kenapa dikatakan sekiranya mereka faham? Sebab bukan semua dapat kefahaman Ad-Din tu. Kita boleh tafsirkan ayat yang terakhir ni kepada dua (berpandukan nukilan Thoriq Ahmad dalam buku ISK) :-

1)'Iza Faqihu (mahir hukum fiqh)
2)'Iza Faquhu (memahami fundamental/asas Islam tu sendiri)

'Iza faqihu ni, kita tahu saja hukum-hakam tetapi kita tak ada kefahaman. Misalnya kita tahu hukum dan syariat menutup aurat, tapi kita masih tidak menutup aurat sebab kita tak faham. Kita sekadar 'tahu' tanpa 'faham'. 

Berbeza pula halnya dengan 'iza faquhu, boleh jadi kita tidak tahu hukum-hakam, tetapi kita faham. Setiap apa yang kita terima, kita akan segera berbuat dalam bentuk tindakan. Macam zaman Mekah dulu, bila turunnya sesuatu ayat, mereka terus beriman denga ayat tersebut sebab mereka faham. Contoh bila turunnya ayat tentang menutup aurat, habis bertempiaran semua wanita mendapatkan kain untuk segera menutup aurat. Hebat. 
Wanita 'iza faquhu ni macam Sumaiyah, beliau bukanlah wanita yang punya ilmu dalam ilmu Fiqh, namun disebabkan beliau memahami Islam dan mengamalkannya, beliau tidak gentar untuk mati syahid.

Tahu tanpa faham, takkan membuahkan tindakan.

Sama lah macam konsep kita belajar. Masa tingkatan 4-5 dulu ada ja belajar tentang tanggungjawab manusia. Hafal lagi jawapan skema; 'Abid dan khalifah...mengimarahkan bumi...bla bla'. Tetapi ketika itu sekadar menggarap ilmu itu atas dasar 'tahu', hasilnya Pendidikan Islam dapat A sebab hafal semata-mata, tetapi perilaku gagal! 

Tahu. Tahu. Tahu.

Tapi, tak faham.

Ilek.
22:46| Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

Jadi, perlunya kita untuk berusaha menjadi orang yang faham. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda:


Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, 
Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din.


Best kan taddabur ni. Dalam satu hadis tentang logam, banyak yang kita boleh belajar. Maaf andai ada kekurangan, dan kalau aku tersalah, mohon tegur deh. Carilah logam kamu, dan berusahalah untuk memiliki bukan sekadar pengetahuan tetapi juga kefahaman.

Mari lah sama-sama menjadi pemuda logam, celupannya hanya untuk kemenangan Islam!


No comments:

Post a Comment

:: DAIERY 2016/2017 ROAD TO USTAZIATUL ALAM ::